Saturday, 31 October 2015

Kelebihan / Fadhilat Ayat Al-Kursi

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
     
      Ayat 255 dari Surah Al-Baqarah yang lebih dikenali sebagai ‘Ayat Al-Kursi’ ini juga digelar ‘Penghulu Segala Ayat Al-Quran’.
Ayat ini diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW, dengan diiringi oleh beribu-ribu malaikat karena kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga telah menjadi gempar kerana adanya satu alamat yang menjadi perintang dalam perjuangan mereka. Maka Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid bin Tsabit (penulis Al-Quran) agar menulis serta menyebarkannya.
Ayat ini disebut ‘Ayat Kursi’ kerana di dalamnya terdapat perkataan ‘KURSI’, bermaksud Tempat Duduk Yang Megah Lagi Yang Mempunyai Martabat’. Iaitu syiar atas kebesaran Tuhan yang meliputi 7 lapis langit dan 7 lapis bumi.


Lafaz bacaan dari huruf Arab ke huruf Rumi:
Allahu Laa Ilaaha Illa Huwal Hayyul Qayyumu. Laa Ta’khudzuhuu Sinatuw Wa Laa Nauum. Lahuu Maa Fissamaawaati Wa Maa Fil Ardh. Man Dzal Ladzii Yasfa’u ‘Indahuu Illaa Bi Idznihi. Ya’lamu Maa Baina Aidiihim Wa Maa Khalfahum. Wa Laa Yuhi Thuuna Bi Syai-In Min ‘Ilmihii Illaa Bi Maasyaa-A. Wasi’a Kursiyyuhussamaawaati Wal Ardha. Wa Laa Ya-Udhuu Hifzhuhumaa Wahuwal ‘Aliyyul Azhiim.
.
.

Hikmat Ayat Al-Kursi (Kekuasaan Allah)


Ayat Kursi adalah seutama-utama ayat dalam Al-Quran. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menyuruh kita mengamalkan membaca surah Kursi. Fadhilat dan kehebatan ayat ini telah diterangkan dalam 99 hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain. Antaranya adalah:
  1. Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad SAW.
  2. Sesiapa berwudhuk lalu membaca ayat Al-Kursi sekali, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan Allah akan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk sipembaca sehinggalah ke hari Qiamat.
  3. Sesiapa membaca Al-Qursi sebelum keluar rumah, maka Allah mengutuskan 70 000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan untuknya.
  4. Sesiapa sentiasa membaca ayat Al-Kursi, nescaya Allah akan kurniakan kepada ahli rumahnya kebaikkan yang tidak terhitung banyaknya.
  5. Membacanya dapat menghilangkan rasa marah, dijauhi bala bencana dan gangguan syaitan.
  6. Sesiapa membacanya ketika dalam kesempitan nescaya Allah azza wa jalla akan memberikan pertolongan kepadanya dan jika seseorang itu miskin akan menjadi kaya.
  7. Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran didepan matanya.
  8. “Sesiapa dikalangan umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan solat sunat dua rakaat, Allah memelihara daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.”
  9. Sesiapa membacanya nescaya Allah mengutuskan malaikat untuk menulis kebaikannya dan menghapuskan keburukannya dari detik itu sampai esok hari,
  10. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, InsyaAllah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
   11.   Sesiapa membaca ayat Al-Kursi sebanyak 170 kali:
    1. Di tengah malam atau  dikuti solat Hajat, Insya Allah berhasil hajatnya.
    2. Memperolehi hidayah dan petunjuk dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.
    3. Meningkatkan kecerdikan dan terang hati.
    4. Terlepas dari masalah dan kesukaran serta dimudahkan rezeki dan cita-cita.
.
12.   Sesiapa membaca ayat Al-Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas solat fardhu, ia akan;
    1. Berada dalam lindungan Allah hingga solat yang lain dan terpelihara daripada tipudaya dan ganguan syaitan.
    2. Allah menganugerahkannya hati-hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala para nabi juga dilimpahkan padanya rahmat.
    3. Allah akan mengambil rohnya seperti orang yang berperang bersama para nabi sehingga mati syahid.
    4. Terpelihara dari kekerasan malaikat maut dan dibangkitkan bersama para Mujahid yang berjihad beserta para Anbiya.
    5. Allah Azza Wa Jalla tidak menegah akan dia daripada masuk syurga.
    6. Dikurniakan pahala seumpama pahala orang yang muttaqin dan pahala balasan amal orang-orang siddiqin iaitu syurga.
.
13.  Sesiapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya;
    1. Allah SWT. mewakilkan dua Malaikat memeliharanya dan menjaga selama tidurnya hingga subuh.
    2. Allah akan membuka pintu rahmat baginya hingga ke Subuh, dan mengurniakan kota nur menurut bilangan rambut dibadannya.
    3. Terselamat dari kecurian, kebakaran dan kekaraman.
    4. Allah mengurniakan keselamatan kepadanya dan jiran- jirannya.
    5. Jika sipembacanya meninggal dunia pada malam itu, ia dikira mati syahid.
.
14.  Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan;
    1. Mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.
    2. Terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.
    3. Allah akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.
https://shafiqolbu.files.wordpress.com/2011/10/ayat-kursi-dan-terjemahan.png

Friday, 2 October 2015

Sepuluh Ganjaran Kebaikan Bagi Orang Yang Sabar






Sekiranya kita diuji dengan fitnah daripada orang yang iri hati diatas kejayaan kita , diuji dengan kemiskinan, diuji dengan keretakan rumah tangga hingga berlaku perceraian sebagai suami-isteri, diuji dengan penyakit dan mendapat kemalangan, diuji dengan kematian insan yang dikasihi atau diuji dengan kerugiaan dalam perniagaan maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk diri kita sendiri sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan ujian tersebut .



Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan kepada Allah SWT atau ianya sebagai satu cara Allah SWT ingin meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya dan Dia mengasihi kita supaya dapat memasuki syurga-Nya nanti kerana salah satu jalan seseorang dimasukkan kedalam syurga kerana adanya kerana sifat sabar semasa di dunia.



Terdapat sepuluh kebaikan-kebaikan yang akan Allah SWT kurniakan pada hamba-hamba-Nya yang sabar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :



Pertama : Di ampunkan dosa untuknya.


Dalam hadis qudsi berkata Syaddad bin Aus r.a. bahwasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Allah telah berfirman: 'Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas (penderitaan) apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala-pahala amalannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)


Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslirn)



Kedua : Allah SWT merasa malu kepadanya semasa di neraca timbangan dan membuka buku catatannya diakhirat.


Berkata Anas ra. bahawasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman:

'Jika Aku menimpakan suatu mushibah ke atas salah seorang hamba-Ku pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu dia menerima mushibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu akan menegakkan baginya neraca timbangan atau membuka buku catatan amalnya.” (Hadis riwayat Qudha’i, Dailami, Hakim dan Tirmidzi) - hadis qudsi.



Ketiga : Allah SWT ingin mendengar sendiri ucapan hamba yang diuji-Nya .


(mukmin tersebut sentiasa memuji-muji kebesaran Allah SWT dengan dia bersabar dan tidak mengeluh)


Berkata Abu Umamah ra. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman: 'Wahai malaikat-ku. Pergilah kepada hamba-Ku, dan timpakan ke atasnya bala'. Maka para malaikat pun menimpakan bala ke atasnya dan orang itu memuji Allah. Para malaikat lalu kembali mengatakan, 'Wahai Tuhan kami ! Kami telah menimpakan atasnya sebagaimana yang Engkau perintahkan'. Berfirman Tuhan: 'Kembali semula kepadanya, Aku ingin mendengar apa katanya'.” (Hadis riwayat Thabarani) - hadis qudsi.



Keempat : Di bebaskan daripada seksaan api neraka.


Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya ia bersama dengan Rasulullah SAW menjenguk orang yang sakit kerana demam, lalu Rasulullah SAW. bersabda maksuanya : “Bergembiralah, kerana Allah telah berfirman: 'Itu adalah api-Ku, yang Aku kuasakan terhadap hamba-Ku yang mukmin di dunia agar menduduki (sebagai pengganti) bagian apinya di akhirat'.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah) - hadis qudsi.



Kelima : Di berikan kesihatan yang lebih baik daripada sebelumnya.


Dari Abu Hurayrah r.a., bahwasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Berfirman Allah Ta’ala: 'Apabila Aku menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mukmin, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat bekerja semula (yakni: setelah semua dosa dan kesalahan yang lalu Allah ampunkan semuanya)'.”

(Hadis riwayat Hakim)






Keenam : Di berikan ganjaran pahala tanpa batas.


Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (tanpa batas) " (Surah az-Zumar ayat 10).



Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW. juga pernah bersabda yang bermaksud:



"Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah SWT dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat."



Ketujuh : Mendapat selawat dan rahmat daripada Allah SWT.


Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."

(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).



Kelapan : Mendapat balasan syurga.



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah SWT berfirman yang maksudnya :"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). "

(Hadis riwayat Bukhari).



Kesembilan : Jaminan mendapat pertolongan Allah SWT.



Firman Allah S.W.T. maksudnya :

"Ya (cukup), jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda." (Surah Ali-Imran ayat 125).



Kesepuluh : Di berikan oleh Allah SWT sifat penyabar.



Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Sahabat yang dimuliakan,

Alangkah beruntungnya seseorang mukmin yang memiliki sifat sabar dan dia praktikan kesabarannya tanpa mengeluh dan bersikap negatif . Sentiasa reda dengan ketentuan Allah SWT dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Sifat orang fasik dan munafik akan cepat marah dan putus asa dengan rahmat Allah, tidak reda dengan musibah yang menimpa dirinya dan mudah menyalahkan orang lain.



Jika kalian berhajat untuk menjadi hamba-hamba Allah SWT yang mendapat reda dan rahmat-Nya maka kalian perlulah sentiasa bersabar, tenang dan berfikiran positif dan meyakini setiap sesuatu perkara itu mengandungi 1000 hikmah kebaikan di sisi Allah SWT.


Sumber : Ustaz Abu Basyer